CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

my lovely son

CafeMom TickersCafeMom Tickers

Monday, March 30, 2009

Ciri Wanita Solehah Pilihan Lelaki



Ciri wanita solehah idaman lelaki

MENCARI calon isteri bukanlah suatu perkara mudah seperti membeli barang di pasar atau pasar raya. Setiap orang inginkan bakal isteri yang sempurna dalam banyak perkara. Islam sendiri menggariskan beberapa ciri dalam memilih calon isteri bagi kebahagiaan yang berkekalan.

Nabi Muhammad SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita idaman yang diperlukan oleh seorang suami, Baginda menjawab, “Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh dan wanita yang tidak mengkhianatinya (tiada curang). “Dan, wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci.” (Riwayat Abu Daud dan Nasaii)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Sebaik-baik wanita ialah sesiapa yang dapat menggembirakanmu apabila dilihat, mentaatimu apabila disuruh dan menjaga dirinya serta hartamu apabila kamu tiada.” (Riwayat A-Tabrani)

Sifat yang perlu diberi keutamaan mencakupi raut wajah yang menyenangkan, akhlak baik terhadap suami, amanah dan setia. Raut wajah yang menyenangkan meliputi dari semua segi iaitu kecantikan, senyuman dan tutur kata ketika berbicara. Faktor sedemikian kerapnya sangat dititikberatkan oleh kebanyakan lelaki dalam soal memilih pasangan hidup.

Akhlak yang baik terhadap suami turut dititikberatkan dalam Islam ketika memilih calon isteri. Faktor ini bagi menjamin kerukunan rumah tangga. Isteri yang baik ialah isteri yang mentaati perintah dan suruhan suami sejauh mana ia tidak bertentangan dengan apa yang digariskan oleh Islam.

Satu lagi ciri dalam memilih calon isteri ialah amanah dan setia. Pada pandangan Islam, isteri yang amanah dan setia bolehlah disifatkan sebagai isteri yang baik dan solehah. Mereka dapat menjaga kehormatan diri dan harta suami sekalipun ketika ketiadaan suami di rumah.

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, “Nikahilah wanita dalam empat kategori: Hartanya, keturunannya, kecantikannya, agamanya. Pilihlah wanita yang mempunyai agama kerana dia akan menjagamu.” (Riwayat Shaihan). Hadis ini menggalakkan seseorang itu memilih isteri dari kalangan wanita yang mempunyai agama iaitu yang beragama Islam dan mengamalkannya.

Perkahwinan yang berdasarkan kepada kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Seseorang itu perlu mengambil kira semua faktor sebagaimana maksud hadis di atas.

Kecantikan seseorang wanita tanpa disertai dengan akhlak baik, tidak akan menepati ciri-ciri wanita solehah. Hasil perkahwinan yang dilangsungkan atas dasar kecantikan paras rupa semata-mata berkemungkinan tidak mendatangkan kebahagiaan dan kegembiraan.

Dalam Islam, kecantikan tidak bermaksud hanya keelokan paras rupa saja, malah meliputi semua perkara. Kecantikan juga termasuk dalam soal akhlak, budi pekerti, kasih sayang dan persefahaman. Inilah yang dimaksudkan sebagai kecantikan sebenarnya, malah faktor inilah juga yang perlu diambilkira dalam memilih calon isteri.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Apabila Allah Taala mewujudkan dalam jiwa salah seorang dari kamu seorang wanita, maka lihatlah kepadanya. Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kebebasan kepada kamu berdua untuk berkasih sayang.”

Dalam riwayat lain pula daripada Mughairah bin Su’bah ketika dia ingin meminang seorang wanita dan dikhabarkannya kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda bermaksud, “Lihatlah dia! Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kepada kamu berdua kebebasan untuk berkasih sayang.” (Riwayat At-Tarmizi, Nasaii dan Ibnu Majah).

Hadis di atas, bersesuaian dengan kehendak Islam, kerana Islam menggalakkan seorang lelaki melihat muka dan dua tapak tangan seorang wanita sebelum memilihnya sebagai isteri. Dengan melihat sendiri barulah boleh dibuat penentuan sama ada berkenan atau sebaliknya dengan calon itu.

Sehubungan itu, wajah memainkan fungsi penting dalam pemilihan calon isteri. Ia boleh merangsangkan hubungan kasih sayang di antara suami dan isteri. Dengan cara ini, kekesalan pada kemudian hari tidak akan timbul. Kita juga perlu maklum, akhlak agama dan harta tidak dapat dinilai dengan pandangan, melainkan kecantikan saja yang dapat dinilai ketika itu.

Justeru, dalam memperkatakan mengenai status wanita idaman, agama sepatutnya menduduki tempat pertama, selepas itu barulah diikuti oleh kecantikan paras rupa.

Pada prinsipnya, Islam amat menitikberatkan kecantikan dalam pemilihan calon isteri. Namun begitu, ia dinilai selepas wanita itu memiliki agama dan mentaatinya. Menilai erti kecantikan ini barangkali ada perbezaan di antara seorang dengan seorang yang lain. Oleh itu, jalan yang dikira mudah ialah terserah kepada individu itu sendiri. Jika mereka tertarik dan cukup berkenan dengan raut muka, tingkah laku dan budi pekerti, wanita itu sewajarnya memadai dinilai di segi kecantikan dirinya.

Kecantikan isteri sebagaimana penilaian sendiri, dapat menambahkan kebahagiaan rumahtangga dan menambat hati suami. Kasih sayang di antara suami isteri akan menimbulkan kemesraan. Wanita yang mempunyai paras rupa baik dan menarik dianggap sebagai wanita mempunyai keberkatan. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan bagi seorang wanita ialah mereka yang mempunyai paras rupa dan rendah maharnya (mas kahwin).”

Sungguhpun demikian, perlu juga ditegaskan paras rupa yang menarik tiada bernilai jika tidak disertakan dengan agama dan akhlak.

Selain wanita beragama dan memiliki kecantikan, soal mas kahwin perlu diambil kira. Dalam Islam, wanita yang meminta mahar atau mas kahwin rendah (berpatutan) adalah dianggap wanita yang mendapat keberkatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan bagi seorang wanita ialah mereka yang mempunyai paras rupa dan rendah mahar (mas kahwinnya).”

Wanita yang meminta mas kahwin berpatutan menjadi wanita idaman kepada kebanyakan lelaki. Ini kerana secara simboliknya ia memperjelaskan sikap wanita yang tidak mementingkan harta, malah lebih penting lagi mencerminkan sikap wanita itu sendiri tidak tamak, sebaliknya pandai berjimat cermat dalam urusan rumah tangga.

Bagi wanita yang meminta mas kahwin tinggi, mereka akan sentiasa mementingkan harta dan kedudukan. Pada mereka, wang adalah kesayangan mereka yang utama berbanding suami sendiri. Oleh kerana mementingkan harta, mungkin suaminya akan sentiasa didesak untuk menyediakan setiap kemudahan dan kesenangan tanpa memikirkan keupayaan suami. Jika keadaan seperti ini berlaku, si suami pasti akan tertekan dan kecewa oleh sikap isteri yang tidak mahu memahami hakikat keupayaan suami.

Wanita yang boleh melahirkan zuriat adalah menjadi wanita idaman oleh hampir setiap lelaki, walaupun tidak dapat dikatakan secara keseluruhannya. Wanita yang dapat melahirkan zuriat juga tergolong dalam kelompok wanita mendapat keberkatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Kahwinilah wanita yang manja dan tidak mandul!” (Riwayat Abu Daud dan Nasaii).

Wanita yang boleh melahirkan zuriat adalah wanita yang menjadi pilihan untuk dijadikan isteri, kerana dalam sesebuah perkahwinan anak yang dilahirkan itu dapat menjadi pengikat atau penambat kasih sayang dan kerukunan rumahtangga.

Rasulullah SAW juga berbangga mempunyai umat ramai. Justeru, adalah perlu lelaki Muslim memilih calon isteri yang berketurunan boleh melahirkan zuriat, kerana dengan adanya anak boleh menambahkan ikatan kasih sayang di antara suami isteri.

Wanita idaman yang disukai oleh ajaran Islam, ialah wanita yang pandai menguruskan rumah tangga. Pandai menguruskan rumah tangga termasuk menjaga hak dan harta suami, sayang terhadap anak-anak dan pandai pula mendidik mereka. Kasih seorang ibu bukan hanya melayani kehendak anak semata-mata, malah perlu memberikan didikan sempurna khususnya didikan agama.

Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan, jika wanita yang dikahwini mempunyai ciri atau faktor seperti dibincangkan, sementara suami pula ialah lelaki beragama dan benar-benar mengamalkannya, insya Allah, rumahtangga yang dibina tiada banyak halangan untuk memperolehi kebahagiaan dan keberkatan dalam kehidupan berkeluarga.

Sumber : Dari sahabat kepada sahabat...

0 comments:

Followers